Osiloskop Gelombang Kebangkitan (OGK)

Ketika seluruh dunia memperlihatkan kebangkitan gelombang Islam (walaupun yang namanya gelombang itu hanya bisa dilihat lewat osiloskop), maka di tanah airku yang tercinta, tak kurang hebatnya omongan yang sedemikian. Lihatlah saja pukauan kegemilangannya sama ada di Turki, di Barat, bahkan hinggakan ke negara jiran kita Indonesia, fenomena kebangkitan ini dilihat memberikan harapan baru beserta denyutan semangat baru bagi umat Islam seluruhnya. Hinggakan kata-kata al-Qardhawi, beserta sejumlah ulama lain, bahawa abad ke-21 ini adalah hak milik umat Islam, memberikan sinar baru buat kita semua.
Semua hasil-hasil yang terpampang kini, sudah tentunya tidak berlaku dengan tiba-tiba. Walaupun ALLAH SWT sememangnya menjanjikan kemenangan ini (lihat surah al-Jumuah [61]:8-9), tetapi sedangkan dalam ALLAH memberikan keajaiban kepada Maryam lewat pepohon yang berbuah di luar musimnya, tetapi tetap saja ia disuruh untuk menggoyangkan dahannya -guna sebagai asbab untuk gugurnya buah itu- maka apatah lagi yang namanya fenomena kebangkitan yang sedang kita perkatakan. Begitulah sunnatuLLAH dan realiti kehidupan. Bahawa hasil-hasil yang demikian, sungguhpun seajaib mana pun kejadiannya, memerlukan asbab atau tepatnya gerak kerja guna memberikan penghasilan yang dicita-citakan. Bukankah Baginda Rasul juga melakukan kerja dakwah ini hinggakan menjangkau 23 tahun lamanya?
Namun, disebalik keributan dan seribu satu harapan ini, terkadang timbul satu ralat dalam kita menganalisis segala data-data ini. Ini kerana, yang namanya gelombang, hanya bisa dilihat lewat bantuan alat sumbangan teknologi kini, tepatnya osiloskop. Ertinya analisis gelombang lewat mata kasar, hanya akan memberikan harapan palsu lagi hampa kepada para penganalisisnya. Hinggakan ketika mereka telah bersiap-siap untuk menyambut kemenangan, ternyata hadiah kejayaan tidak kunjung tiba. Sekadar memberikan sebuah kehampaan kepada para pengharapnya, akibat kedangkalan dalam menganalisis gelombang itu. Ini kerana, alat osiloskop yang diperlukan demi melihat bentuk gelombang ini hanya bisa dibayar oleh sebuah pekerjaan, sebuah usaha dakwah yang murni, sebuah strategi yang berkesan. Itulah sebabnya ALLAH menetapkan kepada para hamba-NYA untuk bekerja (at-Taubah [9]:105), kerana osiloskop ini tidak mungkin terbeli oleh sekadar sebuah omong-omongan semata-mata. Barangkali itulah sebabnya Syed Qutb mengatakan kepada para daie yang sekadar berbangga dengan sebuah gelaran -“sesungguhnya al-Quran itu tak akan dapat difahami oleh orang yang duduk-duduk”.Kerana tanpa usaha yang setimpal, maka wajarkah hasil yang sedemikian besar,sebegitu indah, diberikan kepada kita umat Malaysia? Sedangkan analisa kita selama ini -tentang sebuah kebangkitan- sekadar suatu analisis mata kasar yang menjanjikan seribu satu kekeliruan.
Ini kerana bagi orang-orang yang turun ke medan perjuangan -bak kata Ustaz Anis Matta; “Janganlah pernah berfikir menjadi pahlawan tanpa melakukan kerja-kerja sang pahlawan”-adalah orang-orang yang dikurniakan oleh ALLAH osiloskop ini, hinggakan ia mampu dan berhasil dalam melakukan suatu analisa yang jitu dan tepat, guna memberikan khabar gembira buat kita semua.
“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada ALLAh dan berimanlah kepada Rasul-NYA, nescaya ALLAh memberikan rahmat-NYA kepadamu dua bahagian, dan menjadikan untukmu cahaya (osiloskop) yang dengan cahaya itu kamu dapat berjalan (melihat gelombang) dan DIA mengampuni kamu”(Surah al-Hadid [57]:28)
“..dan barangsiapa yang beriman kepada ALLAH, nescaya DIA akan memberikan (osiloskop) petunjuk kepada hatinya..”(Surah at-Taghabun [64]:11)
Nah, maka analisis kebangkitan ini justeru tidak wajar dilakukan sekadar dengan mata kasar, tetapi harus dilihat lewat osiloskop mata hati, yang hanya diberikan oleh ALLAH kepada orang-orang yang berjuang. Sedang orang-orang yang sekadar berbangga dengan gelaran-gelaran, andainya ada osiloskop pun, radasnya itu telah rosak lantaran tidak diservis, tidak dihidupkan suisnya. Buta pandangan hatinya. Tuli pendengarannya. Statik pemikirannya.Itulah yang dimaksudkan dengan hikmah. Yang namanya hikmah, seperti yang diuraikan oleh Pak Hamka dalam tafsir al-Azharnya, adalah keupayaan seorang mukmin menganalisis hal-hal yang tersirat, yang dibayangi oleh sebuah cereka bergelar kehidupan.
Dan bukankah yang namanya gelombang juga merupakan hal yang tersirat? Fenomena yang tidak mampu ditangkap oleh pandangan mata kasar? Entah bila agaknya akan muncul gelombang kebangkitan. Gelombang yang menjanjikan manisnya kemenangan, indahnya kesabaran, lazatnya ketaqwaan, hangatnya pekerjaan. Bukan sekadar suatu gelombang harapan. Yang sekadar menjanjikan seribu satu kehampaan…..
Oleh: Faridul Farhan Abd Wahab
B. Eng (Hons) Electrical Engineering