Madah Ramadhan


Dia

Hadir kembali di halaman jiwa ini

Mengubat rindu yg kian lama terpendam di lubuk syahdu

Andainya esok bukan milikku

Biarlah hari ini aku bersandar di ribamu

Buat pengubat derita dosa-dosa semalam

Kerana aku tahu ya el-mubarak

Kau dirindui oleh sekelian alam maya ini

Seandainya alam ini turut berkata-kata

Pastilah pujian meniti ditiap-tiap lisan mereka

Kerana kami di sini masih ketandusan sebuah pengharapan dan keampunan

Aku akan setia menantimu di sini

Moga ia bakal menjadi sebuah bekalan terbaik sepanjang pelayaran

Buat meniti hakikat lautan sebuah kehidupan

Salam ramadhan penuh kesucian


Dia hadir kembali setelah lama dinanti. Bukan seperti 'pungguk rindukan rembulan' yang cintanya tidak mungkin dibalasi, tetapi cinta ini seperti kekasih yang merindukan hari yang dijanjikan padanya lebih molek dari seribu bulan. Setelah lama kekurangan dalam melakukan amalan, maka inilah masa yang paling sesuai untuk menumpahkan segala rasa cinta yang bersemi.

Terkadang noda-noda dunia yang seringkali melambai-lambai, menggamit kita untuk bersamanya menyebabkan kita terleka seketika. Sedangan para sahabat sahaja sering mengadu mengenai kerisauan dengan iman mereka. Apatah lagi kita sebagai hamba di akhir zaman yang diibaratkan Rasulullah sebagai zaman umat Islam yang berkualiti buih-buih di lautan.

Umar Al-Khattab sahaja pernah bertanya kepada Huzaifah iaitu satu-satunya sahabat yang memegang rahsia Rasulullah tentang siapa golongan munafiq dikalangan orang Islam. Beliau berasa risau samaada beliau termasuk dikalangan munafiq tersebut. Subhanallah, manusia sehebat Umar sahaja risau tentang imannya.

Sekiranya kita merasakan iman kita sentiasa mantap sentiasa, maka periksalah kembali diri kita. Muhasabahlah diri kerana takut-takut kita tertipu dengan amalan yang kita kerjakan itu. Begitu juga ketika hati merasakan diri lebih baik berbanding manusia lain, maka ketika itu jugalah hati itu perlu diperhalusi agar tidak terpedaya dengan bisikan syaitan.

Semoga iman yang ketandusan selama ini dapat dibanjiri dengan nur Ramadhan yang ditunggu oleh penghuni di langit dan di bumi. Hatta mereka yang telah lama meninggalkan dunia yang fana ini juga menunggu-nunggu kehadiran bulan ini. Usah kerana sibuk untuk persiapan aidilfitri, maka kita terlupa dengan persiapan Ramadhan. Ramadhan hadir sekali setahun, belum tentu kita bernafas lagi di Ramadhan yang akan datang. Maka ambillah peluang ini untuk menambahbaikkan amal ibadat buat bekalan di 'penjelmaan' yang akan datang.

Mengapa menanti senja, baru tercari-cari jalan pulang?