we're more than frens...we're a brother...




“Jika kau mahukan tempat tinggal, maka ambillah salah satu dari rumah-rumahku, jika kau mahukan harta, maka ambillah sebahagian daripada hartaku dan jika kau mahukan teman hidup, maka akanku ceraikan salah seorang isteriku dan mengahwinkannya denganmu, saudaraku”.

Jika kita sebagai manusia biasa, sudah tentu kita akan tertanya-tanya, adakah di kalangan manusia ini yang sanggup melakukan perkara-perkara seperti di atas? Sampai sanggup menceraikan isterinya semata-mata untuk membahagiakan saudaranya? Sanggup menggadaikan hartanya untuk memenuhi keperluan saudaranya? Sudah tentu kita merasa pelik dan hairan.

Hakikatnya, inilah yang berlaku semasa peristiwa hijrah Rasulullah, tatkala Rasulullah mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dengan orang-orang Ansar. Orang Ansar yang tidak ada sebarang hubungan dengan orang Muhajirin ini, secara rela sanggup berkongsi apa saja yang mereka miliki dengan saudara seakidah yang baru mereka temui.

Jika perkara ini terjadi kepada kita, adakah kita rela untuk melakukan pengorbanan sebegini? Atau kita hanya akan menyimpan segalanya untuk diri kita semata? Secara logiknya, mana mungkin kita akan berkongsi sesuatu dengan orang yang tidak kita kenali sepenuhnya. Lantas, apakah sebenarnya yang mendorong orang-orang Ansar untuk melakukan pengorbanan yang besar ini?

Jawapannya ialah kerana mereka telah merasakan manisnya persaudaraan atas IMAN, dan mereka telah merasa enaknya bersaudara dalam ISLAM. Sehingga mereka tidak lagi merasakan pahitnya kekurangan harta dan peritnya kehilangan keluarga. Segalanya mereka lakukan kerana kecintaan yang mendalam terhadap Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman. Mereka menyedari bahawa hanya ukhuwah Islamiyyah (persaudaraan Islam) yang dapat menyatukan mereka.

Mereka berjaya menghayati firman Allah :
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara” (49:10)

Begitu juga mereka berjaya mambuktikan bahawa mereka adalah orang yang benar-benar beriman berdasarkan sabda Nabi :

“Tidaklah beriman salah seorang di antara kalian, hingga ia mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri” (HR Bukhori).

Kecintaan mereka itu menjadikan mereka orang yang layak untuk mendapat gelaran mukminin (orang yang beriman). Maka, ayuh kita melihat diri kita saat ini. Adakah kita layak mengaku benar-benar beriman, sedangkan kita tidak mencintai saudara seIslam kita sebaiknya? Adakah iman kita telah sempurna, saat kita masih memandang remeh akan penderitaan saudara-saudara kita di seluruh dunia? Tepuk dahi, tanyalah diri. Para penganut Islam yang terdahulu dari kita telah membuktikan kebenaran iman mereka. Maka belum sampaikah masanya untuk kita pula membuktikannya? Adakah kita kira begitu mudah mengaku beriman tanpa perlu dibuktikan?

Akhirnya, haruslah kita ingat bahawa hanya persaudaraan atas dasar akidah yang akan kekal hingga kita bertemu Allah. Persaudaraan atas dasar yang lain, semuanya akan terputus sebaik kita memasuki tanah dan menjadi penghuni alam barzakh. Pilihlah yang kekal dan tinggalkanlah yang sementara agar kita terselamat dari kerugian, selamanya.

`meor khairul anwar
spt yg tersiar dlm 'Wasilah' Muharram 1428H