khilaf itu sunnah alam..


“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Al-Hujurat:10)

Demikian sebagai sunnah alam yang berperanan dalam memakmurkan fahaman manusia. Perkara khilaf dan perselisihan pendapat dikalangan ulamak dan pendokong mana-mana organisasi adalah satu sunnah alam. Pusat Islam pengajian dan kajian di bawah kelolaan Ikhwan muslimin menghuraikan fenomena ini sebagai tabiat semulajadi di dalam mana-mana organisasi.

Sebagai contohnya, perselisihan fahaman telah wujud lagi sejak zaman Rasul s.a.w namun ianya tidak diingkari nabi s.a.w. Meskipun demikian setiap perkara yang terlarang dan perpecahan yang boleh membawa kepada kelemahan dan kekalahan pada umat Islam ianya diingkari sama sekali. Adapun yang bersifat perselisihan pendapat ianya sebagai satu pelengkap kepada satu sama lain dan ianya tidak dapat tidak perlulah di selangi dengan toleransi, berlapang dada dan menjauhkan dari sebarang ketaasuban dan pemikiran yang sempit.

Mereka juga berpandangan menerima tanpa menolak sama sekali dengan adanya fenomena kepelbagaian pendapat di dalam masyarakat Islam masa kini. Ianya diterima dari sudut pencambahan fikiran ke arah kesatuan yang menjurus penubuhan masyarakat dan Negara Islam yang satu. Demikian juga sebagaimana huraian yang diberikan oleh Dr Yusuf Qardawi dalam menghuraikan perkara tersebut dengan menyebut bahawa ikhtilaf yang berlaku ini satu sunnatullah sejak berlakunya penciptaan makhluk ianya terhasil secara semulajadi hasil daripada percambahan rupa, tabiat, suasana dan sebagainya. Ianya jelas sekali berdasarkan ayat Allah di dalam surah Rum: 22:
”Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya dan kebijaksanaanNya ialah kejadian langit dan bumi dan perbezaan bahasa kamu dan warna kulit kamu. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang
berpengetahuan.”

Inilah sebagaimana yang diperakui oleh Dr Yusuf Qardawi di dalam karangannya “Sahwatul Islamiyah” sebagai ikhtilaf tanawu’ (yang berbagai) bukannya bersifat tanaqud (bertentangan).

Di sana juga timbul ijtihad-ijtihad yang tidak bersalahan bahkan disebut sebagai rahmat dan pemudah kepada jalan pilihan umat sesuai dengan peredaran zaman. Sebagai contohnya di dalam Al Quran terdapat begitu banyak sekali hukum hakam yang memerlukan ijtihad berdasarkan kepelbagaian pandangan melalui fuqahak dan ahli agama. Di dalam Al Quran juga tercangkupnya ayat-ayat yang bersifat muhkamat (jelas hukumnya) dan mutasyabihat (ayat yang samar) yang memerlukan ijtihad dan istinbad fuqahak. Terdapat juga nas-nas yang bersifat qat’i, zanni,sarih dan muawwal juga memerlukan kepada ijitihad yang memutuskan.