Evolusi atau Revolusi?


My brothers and sisters,

Terkadang hidup ini mungkin sahaja dilayari dengan penuh keindahan bagi sesetengah manusia sehingga alpa bahkan telupa pada kewujudan makhluk-makhluk lain di dunia ini. Bukan sedikit peri penting makhluk-makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar ini dalam memainkan peranan yang besar dalam kehidupan manusia itu sendiri. Antaranya termasuklah virus, bakteria, parasit sehinggalah kita terkesan dengan mikrorganisma tersebut melalui penyakit seperti Anthrax, Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS), Tuberculosis, Malaria, Denggi, AIDS, dll.

Apabila mikroskop cahaya dicipta oleh Anthony Loewenhoek dan mikroskop elektron oleh Ruska, barulah kita sedar akan kewujudan makhluk yang pastinya tidak bisa dilihat dengan kornea manusia di bawah paras normal. Namun ada yang lebih kecil dari mikrob-mikrob tadi sehingga tidak dapat dilihat hatta dengan mikroskop sekalipun iaitu struktur atom. Atom-atom inilah yang merupakan ‘basic structure’ yang membina semua benda disekeliling kita. Di dalam atom ini pula, wujudnya cas-cas positif (proton), negatif (elektron) dan neutral (neutron). Pasti kewujudannya amat penting dalam memberikan ciri-ciri fizikal kepada sesuatu benda walaupun kewujudannya seringkali tidak disedari.

Ketahuilah, sebesar atau sekecil mana sesuatu kejadian itu sebenarnya ia bukanlah perkara pokok. Tetapi yang lebih aula (penting) adalah bagaimana ia dapat memberi manfaat kepada makhluk lain kerana tidaklah Allah menjadikan sesuatu kejadian tersebut dengan sia-sia. Pastinya terkandung seribu hikmah yang terselit mahupun yang ‘terlepas pandang’ disebalik tiap-tiap kejadian itu. Cuma kita sahaja sebagai khalifah perlu mengkaji serta membuat penelitian agar tiap-tiap yang bermanfaat itu bisa dimanfaatkan sepenuhnya bagi membawa rahmat pada kehidupan di alam ini.

“(Iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata: ‘Ya Tuhan kami,tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari seksa neraka” (Ali-Imran; 3:191)

Namun aneh rasanya dalam sanubari ini apabila ada manusia seperti Charles Darwin yang merupakan seorang ahli saintis Yahudi tersohor mengemukakan Teori Evolusi 150 tahun yang lalu tegar mengatakan bahawa segala kejadian yang di dunia ini berlaku dengan sendirinya dan secara kebetulan. Antara teori beliau yang 'menggegarkan' dunia sains adalah bagaimana segala kejadian di alam ini seperti haiwan reptilia terevolusi daripada ikan. Paling popular di kalangan kita ialah bagaimana manusia terbentuk hasil evolusi daripada sang beruk. Ini sememangnya suatu fakta yang mengelirukan dan tidak bernas sama sekali. Menurut kajian sains, apabila suatu teori itu dikemukan, perlu ada ‘ evidence’ untuk mengukuhkan teori tersebut. Tetapi sehingga ke hari ini para penyokong mahupun pendokong teori evolusi masih gagal membawa sebarang fosil makhluk separuh manusia dan separuh beruk. Cuma yang ada sekadar gambar lukisan serta fosil beruk yang telah pupus dan fosil-fosil manusia kepunyaan bangsa/etnik yang berbeza yang telah diselewengkan. Malah, para saintis Barat selepas zaman beliau telah berjaya merungkaikan apa yang dikatakan oleh Darwin sebagai penemuan tengkorak manusia yang masih dalam fasa evolusi. Rupa-rupanya, ia adalah hasil percantuman di antara tengkorak manusia dan rahang haiwan spesies beruk/cimpanzi.

Nah, sudah barang tentunya para penyokong teori evolusi terlupa bahawa perbezaan terbesar di antara seorang manusia dan seekor beruk ialah manusia mempunyai jiwa manakala beruk tidak. Manusia mempunyai kesedaran, mereka berfikir, bercakap dan meluahkan pandangan mereka kepada orang lain dalam ayat-ayat yang rasional, berperasaan dll. Kesemuanya ini berpaksi pada jiwa manusia. Oleh itu, untuk menjadi manusia, beruk bukan sahaja perlu melalui banyak perubahan fizikal bahkan perubahan rohani serta jiwa. Apakah terdapat kuasa semulajadi atau kuasa ‘kebetulan’ yang dapat melakukan perubahan demi perubahan tersebut selain dari kuasa yang Maha Hebat???

Maka, dalam memahami isu-isu sebegini, marilah kita sama-sama mengingatkan apa yang telah diajarkan oleh baginda Rasulullah saw "Hendaklah kamu berpegang dengan dua perkara ini, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya. Dua perkara itu adalah Al-Quran dan As-Sunnah".

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku ingin menjadikan khalifah di bumi." Mereka (malaikat) berkata, "Apakah Engkau hendak menjadikan orang yang merosak dan menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu dan menyucikan namaMu?" Dia berfirman, "Sungguh, Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

"Dan diajarkan kepada Adam nama-nama benda semuanya, kemudian Dia perlihatkan kepada para malaikat, seraya berfirman, "Sebutkan kepadaku nama semua (benda) ini, jika kamu yang benar!" (Al-Baqarah: 30-31)

Apabila diteliti ayat ini, maka kita akan menemui jawapannya bahawa manusia pertama yang dijadikan Allah adalah Adam dan bukannya beruk bak kata Darwin. Tepuk dada, tanyalah hati. Kerana hati yang bersih, firasatnya sempurna. Tetapi apabila hati dikotori, bisikannya bukan lagi kebenaran kerana kebenaran itu sudah dihijab. Maka marilah kita bersama-sama me'revolusi'kan diri kita untuk kembali kepada Al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w kerana di sanalah puncak kejayaan kita.

“Malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)!kami tidak mempunyai pengetahuan selain daripada yang Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah yang maha mengetahui, lagi Maha Bijaksana” (Al-Baqarah 2:32)