Saya, Amin Idris dan Magnet Diri (www.saifulislam.com)






“Jawatan dan status penting, tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sudah jadi orang penting sebelum memegang apa-apa jawatan lagi,” saya membuat penegasan kepada seorang pemimpin mahasiswa kampus.

“Misalnya?” soal beliau.

“Ketika Hajar al-Aswad mahu diletakkan kembali ke binaan baru Kaabah pasca banjir besar di Mekah, penduduk memilih Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai penyelesai konflik. Tentu anta masih ingat,” kami meneruskan perbualan sambil menekuni kesesakan jalanraya menuju ke lokasi program.

“Ya. Ketika itu baginda belum dilantik sebagai Rasul,” ujar beliau.


“Dan tidak pula berjawatan Ketua Pemuda atau apa-apa yang seumpama dengannya. Tetapi sudah terkenal dengan gelaran al-Amin,” saya menokok.

“Al-Qawi dan al-Amin, kan ustaz?” tambah beliau, merujuk Surah al-Qasas ayat 26 yang sering saya petik dalam ceramah dan penulisan.



“Sesungguhnya orang terbaik yang boleh engkau upah untuk bekerja ialah orang yang Qawi (berkompetensi) dan Amin (bertintegriti)” [al-Qasas 28: 26]

“Itulah namanya pemimpin yang memimpin dengan pengaruh, bukan dengan jawatan,” saya membuat kesimpulan.

“Wajarlah Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam digelar al-Amin walaupun belum bergelar Rasul. Manusia yang sudah sedia berkualiti, sebelum berotoriti,” sokong beliau.

“Bijak anta. Tapi ada satu lagi Amin yang hebat di zaman kita ini,” saya mengusik.

“Amin apa tu?” tanyanya dengan sedikit keliru.

“Ada pula Amin Apa! Amin Siapa sebetulnya,” saya menjawab.

“Aha, hehe. Amin Siapa, ustaz?” soal beliau.

“AMIN IDRIS… siapa lagi kalau bukan dia!” saya membalas.

“Ooo, Abang Amin Idris…” angguk beliau.

Saya geleng.

Sambil ketawa.

SAYA, AMIN IDRIS DAN MAGNET DIRI




Perkenalan kami serba sederhana. Internet banyak memainkan peranannya.

Ukhuwwah bertambah rancak apabila saya beberapa kali diundang Amin menjadi tetamunya di dalam beberapa program televisyen.

Setahun yang lalu, Amin memberitahu saya bahawa beliau sedang menyiapkan sebuah buku. Ia adalah buku yang merumuskan pemikiran atau lebih tepat disebut sebagai modul beliau dalam memperkatakan tentang motivasi diri dan kepimpinan.

Amin berjaya mencipta Niche beliau yang menjadi trade marknya khusus di bidang jururunding latihan dan motivasi. Amin Idris sinonim dengan formulanya, MAGNET DIRI.

Ia berkaitan dengan kualiti seorang manusia. Kualiti yang menjadikannya seorang pemimpin yang hebat, majikan atau majikan yang hebat, suami atau isteri yang hebat, berdiri lebih tinggi dari orang lain. Kehebatan itu ialah pada kejayaannya membina pengaruh atau dalam erti kata yang lain, meninggalkan bekas kepada setiap seorang yang berhubung atau mendampinginya.

“Saya mahu menemuramah ustaz bagi mendapatkan perspektif ustaz dalam hal ini,” kata Amin di suatu ketika.

“Supaya kita yang sama sibuk tidak menjadikan sibuk sebagai halangan, apa kata anta email kepada ana soalan-soalan yang mahu ditemuramah? Insya Allah ana akan menjawabnya,” saya memberikan cadangan.

Jawapan saya kepada soalan temuramah Amin Idris, kami bualkan bersama secara kasual di dalam beberapa siri pertemuan. Keseluruhan jawapan kepada soalan-soalan itu telah dengan murah hatinya, Amin Idris muatkan di dalam buku beliau yang bakal meletup, Insya Allah. Buku MAGNET DIRI terbitan PTS Millennia Sdn. Bhd. telah menyediakan 9 mukasurat (268 – 276) di bawah tajuk Magnet Diri Gaya Saiful Islam, di samping hasil temuramah beliau dengan tokoh-tokoh lain juga.



Buku Magnet Diri hasil karya Amin Idris sangat kemas, kaya dengan nota, tips, gambarajah yang semua itu sangat membantu kita dalam menstrukturkan kefahaman tentang kaedah meningkatkan kualiti diri, khususnya sebagai pemimpin, yang kita semua memikul kemuliaan itu di atas setiap bahu mukallaf yang hidupnya ada makna dan ada tujuan.

Saya sangat mencadangkan kepada anda semua untuk mendapatkan senaskhah buku ini, malah hadiahkanlah juga ia kepada sesiapa sahaja yang anda harapkan dirinya itu menjadi manusia yang berkesan dalam kehidupan. Sebagai permulaan, hadiahkan kepada diri anda sendiri, buah tangan Amin Idris yang dihadiahkannya untuk kita semua.

Sesuai untuk murid sekolah, pelajar universiti, pemimpin persatuan, pendakwah, suami, dan sekalian anda yang adalah pemimpin, bahawa setiap pemimpin itu pasti nanti akan disoal tentang kepimpinannya.

Amin Idris adalah seorang tokoh muda yang cepat mencuri perhatian saya. Bagai ada satu tarikan untuk saya mengikuti perkembangannya, berdamping dengan hasil kerjanya dan teruja menyaksikan kemajuannya. Biar pun jarang berjumpa, sekali sekala bertemu terasa begitu dekat di hati.

Rupa-rupanya saya sudah ditarik oleh sebuah MAGNET DIRI. Tambah menarik, segala rahsia pengaruh seorang yang bernama Amin Idris, saya temui dalam karya bestarinya, MAGNET DIRI.

Membaca MAGNET DIRI menjadikan saya sibuk. Sibuk berfikir, sibuk mencatat, sibuk memproses dan sibuk bercermin diri. Kepada sesiapa yang yakin bahawa kekuatan PENGARUH mengatasi KUASA, buku MAGNET DIRI ini mengesahkannya.

Tahniah kepada Amin Idris.

Anda memang manusia bermagnet!

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

p/s: ternanti-nanti gaimana 'rupanya' buku ini.